MoU bawa tenaga buruh Indonesia dipercepat

PETALING JAYA: Perjanjian bekalan tenaga buruh dari Indonesia bakal dipercepatkan bagi menampung keperluan industri pembinaan negara.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata perbincangan mengenai usaha untuk membawa masuk tenaga buruh dari Indonesia dan Myanmar sebelum ini dibuat bersama Kementerian Sumber Manusia (KSM) serta Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Jelasnya, Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Myanmar sudah ditandatangani, namun perjanjian sama dengan Indonesia dijangka hanya berlangsung sekitar bulan depan.

“MoU dengan Indonesia patut pada Februari, tetapi hasil perbincangan dengan KDN dan KSM, Malaysia nak mempercepatkan kerana industri pembinaan negara terjejas ekoran kekurangan tenaga buruh asing.

“Justeru, dua kementerian ini (KSM dan KDN) akan pergi ke Indonesia untuk memuktamadkan MoU bagi memastikan segenap projek membabitkan sektor pembinaan di Malaysia berupaya kembali rancak,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Terdahulu, Fadillah hadir melancarkan galeri jualan kediaman mewah, Alfa Bangsar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM450 juta yang dijangka berupaya merancakkan kembali sektor pembinaan negara, pasca pandemik COVID-19.

Fadillah sebelum ini dilaporkan berkata, sektor pembinaan di Malaysia berdepan isu kekurangan pekerja 3D (kotor, bahaya dan sukar) yang meruncing hingga mencetuskan beberapa projek besar tergendala.

Masalah sedemikian sekali gus menyaksikan kebergantungan pihak kontraktor terhadap pekerja asing bagi rangkaian aspek kerja, menghadapi kesukaran untuk menepati jadual projek, meskipun sektor pembinaan dibenarkan beroperasi sepenuhnya dalam fasa pemulihan pandemik COVID-19.Read more >>

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on print
Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on facebook
Share on twitter